Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Alhamdulillah,segala pujian dirafakkan ke hadhrat Ilahi atas
nikmat paling besar buat diri iaitu nikmat iman dan nikmat Islam.
Mengimbau kenangan lama…
“Qiyaman!(Bangun)”
“Assalamualaikum ya mu’allim(Assalamualaikum ustaz)”
“Wa’alaikumussalam. Baik. Siapa yang tak solat dan tak tutup
aurat jangan duduk.”
Tindakan biasa yang dilakukan oleh ustaz Abdul Halim sebelum
memulakan kelas Tajwidnya. Sesiapa yang mengaku tidak solat dan tidak tutup
aurat akan dirotan tapak tangannya dengan pembaris. Di SRA Permatang,beliau
antara ustaz yang digeruni oleh para pelajar. Ingat lagi masa sebelum masuk
darjah 3,kawan-kawan dah siap pesan,masuk
darjah 3 nanti dah kena pakai tudung kalau tak nanti kena rotan.
Jadi,sejujurnya saya mula memakai tudung sewaktu berumur 9 tahun dan pakai pun
sebab takut kena rotan dengan ustaz.
**********
Seperti yang kita sedia maklum,solat dan menutup
aurat,kedua-duanya perintah Allah yang wajib kita laksanakan. Persoalan yang
ingin saya bangkitkan disini,adakah kedua-dua perintah Allah itu kita lakukan
kerana terikut-ikut dengan persekitaran atau sebagai bukti ketaatan kita kepada
Allah?. Tidak perlu jawab disini,namun cukuplah sekadar satu persoalan untuk
kita muhasabah diri.
**********
Kenapa solat?
“Sebab dari kecil mak dan ayah suruh solat…”
“dah terbiasa sebab kat asrama dulu wajib solat fardhu
berjemaah…”
Kenapa tutup aurat?
“Sebab semua kawan pakai tudung…”
“dulu sekolah agama…”
Pada pandangan saya,tidak salah jika melakukan solat dan
menutup aurat disebabkan terikut-ikut dengan teman atau persekitaran. Namun,itu
hanyalah alasan yang boleh diterima untuk sementara. Ya,alasan sementara kerana
tidak mustahil dari ikutan bakal berubah menjadi ketaatan. Yang silapnya adalah
bilamana kita berterusan solat dan menutup aurat tanpa kita berusaha memahami
dan menghayati dengan maksud sebenar apakah yang dikatakan solat dan tutup
aurat. Ayat mudahnya,beramal tanpa ilmu,sekadar mengikut secara meluru.