Ahad, 9 Februari 2014

Solat dan Menutup Aurat: Ikutan atau Ketaatan?

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Alhamdulillah,segala pujian dirafakkan ke hadhrat Ilahi atas nikmat paling besar buat diri iaitu nikmat iman dan nikmat Islam.

Mengimbau kenangan lama…
“Qiyaman!(Bangun)”
“Assalamualaikum ya mu’allim(Assalamualaikum ustaz)”
“Wa’alaikumussalam. Baik. Siapa yang tak solat dan tak tutup aurat jangan duduk.”
Tindakan biasa yang dilakukan oleh ustaz Abdul Halim sebelum memulakan kelas Tajwidnya. Sesiapa yang mengaku tidak solat dan tidak tutup aurat akan dirotan tapak tangannya dengan pembaris. Di SRA Permatang,beliau antara ustaz yang digeruni oleh para pelajar. Ingat lagi masa sebelum masuk darjah 3,kawan-kawan dah siap pesan,masuk  darjah 3 nanti dah kena pakai tudung kalau tak nanti kena rotan. Jadi,sejujurnya saya mula memakai tudung sewaktu berumur 9 tahun dan pakai pun sebab takut kena rotan dengan ustaz.
**********
Seperti yang kita sedia maklum,solat dan menutup aurat,kedua-duanya perintah Allah yang wajib kita laksanakan. Persoalan yang ingin saya bangkitkan disini,adakah kedua-dua perintah Allah itu kita lakukan kerana terikut-ikut dengan persekitaran atau sebagai bukti ketaatan kita kepada Allah?. Tidak perlu jawab disini,namun cukuplah sekadar satu persoalan untuk kita muhasabah diri.
**********
Kenapa solat?
“Sebab dari kecil mak dan ayah suruh solat…”
“dah terbiasa sebab kat asrama dulu wajib solat fardhu berjemaah…”
 Kenapa tutup aurat?
“Sebab semua kawan pakai tudung…”
“dulu sekolah agama…”
Pada pandangan saya,tidak salah jika melakukan solat dan menutup aurat disebabkan terikut-ikut dengan teman atau persekitaran. Namun,itu hanyalah alasan yang boleh diterima untuk sementara. Ya,alasan sementara kerana tidak mustahil dari ikutan bakal berubah menjadi ketaatan. Yang silapnya adalah bilamana kita berterusan solat dan menutup aurat tanpa kita berusaha memahami dan menghayati dengan maksud sebenar apakah yang dikatakan solat dan tutup aurat. Ayat mudahnya,beramal tanpa ilmu,sekadar mengikut secara meluru.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan