Isnin, 7 April 2014

Warkah buat Amna...

Assalamualaikum Amna binti Zhafran.

        Maaf andai warkah ini mengganggu awak. Moga awak sihat dan sentiasa dalam pemeliharaanNya. Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk menyatakan sebuah perkara yang sudah lama saya pendam. Teringin sekali dilafazkan dengan kata-kata,tapi saya tak mampu untuk melakukannya. Mungkin ukhuwwah antara kita masih ada jurangnya.

Amna sahabatku...

         Sejak kebelakangan ni,saat saya skroll wall fb saya,saya sering terlihat perkara-perkara yang menimbulkan tanda tanya di hati saya. Ya, saya akui saya bukanlah seorang insan yang begitu 'alim dalam selok-belok agama. Cuma,iman saya terusik bilamana melihat 'kemesraan' awak dan Taufiq saling berbalas komen di fb. Saya akui bahawa selama ini saya begitu mengagumi awak sehinggakan saya menjadikan awak sebagai salah seorang role model yang terdekat buat saya. Saya kagum dengan latarbelakang agama awak yang kuat dan akhlak awak yang baik,tapi maafkan saya,sejak melihat perkara-perkara tadi,persepsi saya mula berubah dan dengan harapan persepsi saya terhadap awak tidak terus berubah,saya mengambil keputusan untuk mengirimkan warkah ini buat awak. Apa yang saya harapkan,selepas ni awak apatah lagi saya lebih berhati-hati dalam menjaga ikhtilat di alam maya. Di luar sana,begitu banyak mata-mata yang memerhatikan tindak-tanduk kita yang terserlah ke'islamik'annya apatah lagi Sang Pencipta yang tidak pernah lari dari memerhatikan para hambaNya. Dan seandainya ada perasaan suka yang terbit di hati awak dan Taufiq,kita tak da kuasa untuk menidakkannya kerana itu salah satu fitrah yang memang Allah dah tetapkan buat kita. Cuma pandai-pandailah mengawalnya. Moga kita yang dipilih Allah untuk mempunyai kefahaman ini tidak membawa fitnah terhadap Islam yang kita juangkan.

          Sebelum mengakhiri lembaran warkah ini,beribu kemaafan saya pinta seandainya ada kata-kata yang mengguris perasaan awak. Saya akui saya juga tidaklah sebaik mana. Cuma,apa yang saya harapkan kita saling berpesan kepada kebenaran dan kesabaran. Tidak ada manusia yang dapat lari dari melakukan kesalahan. Mungkin pada kali ini Allah gerakkan hati saya untuk menegur kesilapan awak,barangkali pada masa akan datang,silap saya ditegur pula oleh awak. Sungguh teguran itu dari Allah bukan dari hambaNya. Moga ukhuwwah antara kita membawa ke jalan menuju redha dan syurgaNya.

Salam sayang buatmu mujahidah solehah,

Fathonah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan